Stop Facebook exploiting you: support secure and private social network project

tagtag.com/m4m4sue

Layakkah kita bergelar umat Muhammad?
Alazhariah
Sat | Jul 07, 07 | 11:19:45 AM  
 


Rasulullah s.a.w. adalah insan pilihan, utusan terakhir yang diutus untuk menyampaikan risalah Ar-Rahman keseluruh alam. Baginda adalah contoh teladan yang terbaik dan sememangnya menjadi ikutan dalam kehidupan muslim pada hari ini. Keindahan akhlak Rasulullah s.a.w. dibuktikan dalam Al- Quran melalui firman- Nya dalam surah al- Ahzab ayat 21 yang bermaksud:  
 

"Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah s.a.w. itu suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari Kiamat dan yang banyak mengingati Allah."  
 

Berdasarkan dalil yang dinyatakan di atas, dapat dibuktikan bahawa keindahan akhlak Rasulullah s.a.w. telah diiktiraf oleh Allah SWT sehingga dirakamkan di dalam kitab suci al-Quran untuk dijadikan teladan mahupun "role model" kepada umat baginda dari dahulu hinggalah sekarang, kerana segala yang termaktub dalam al- Quran itu adalah kekal dan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek zaman.  
 

Petikan kenyataan "Akhlak Rasulullah adalah al- Quran" merupakan kata-kata yang diungkapkan sendiri oleh Saidatina Aisyah r.a. sebagai penghargaan dan kekaguman seorang isteri terhadap Rasul tercinta.  
 

Akhlak Rasulullah s.a.w., diumpamakan indah bagaikan Al- Quran, ini kerana baginda adalah Rasul (utusan Allah) yang dipilih untuk menyampaikan amanat dari Tuhannya dan melaksanakan tanggungjawab menyampaikan risalah dakwah kepada seluruh alam, sehinggalah ke hari ini. Kita dapat merasakan seruan dakwah baginda dengan nikmat iman dan Islam yang menjadi tunjang akidah kita, dibuktikan lagi dengan turunnya kitab suci al-Quran yang merupakan kalam Allah dan mukjizat yang paling berharga dianugerahkan kepada baginda Rasulullah s.a.w., melalui perantaraan malaikat Jibrail, juga merupakan sumber utama perundangan Islam, di mana di dalamnya terkandung seluruh peraturan hidup yang syumul meliputi seluruh aspek kehidupan dan tetap menjadi rujukan seluruh umat manusia pada hari ini.  
 

Akhlak Rasulullah s.a.w. seiring dan sepadan seperti mana yang digariskan oleh Allah SWT di dalam ayat-ayat-Nya, yang menjadi tatapan pada umat terdahulu dan menjadi teladan kepada umat yang kemudian. Sesungguhnya, beruntunglah umat Nabi Muhammad pada hari ini, sungguhpun tidak berada di zaman baginda, namun sunnah dan sirah baginda tetap tersemat di hati, lantaran kecintaan terhadap Allah dan Rasulnya serta beriman dan menyakini apa yang di bawa oleh baginda Rasulullah s.a.w..  
 

akhlak terpuji
Rasulullah s.a.w.adalah qudwah hasanah yang tidak dapat ditandingi lantaran peribadinya yang terpuji dan dikagumi sendiri oleh kawan mahupun lawan. Manakan tidak, Rasulullah tetap melemparkan senyuman tatkala dicaci, dihina dan dipersenda oleh musuh-musuh Islam sewaktu baginda menyampaikan risalah dakwahnya. Malahan, baginda sentiasa merendah diri, berbicara dengan lemah lembut dan untuk menarik mereka mendekati Islam.  
 

Peribadi Rasulullah s.a.w. sungguh anggun dan menawan, sungguhpun bergelar nabi, namun baginda sedikit pun tidak menyombong dan tidak riya' dengan kedudukannya yang sangat mulia di sisi Allah SWT. Tidak seperti kebanyakan pemimpin pada hari ini, yang angkuh dan bongkak dengan gelaran, pangkat dan jawatannya yang hanya sementara sahaja. Baginda Rasulullah s.a.w. merupakan seorang sahabat dan teman yang setia, seorang suami yang mithali dan lembut hati, seorang bapa yang penyayang dan penyabar, seorang pemimpin yang adil, bijaksana dan berkarisma juga hamba yang wara' dan tawadhuk serta taat kepada Allah SWT.  
 

Keindahan akhlak Rasulullah s.a.w. sesuai dengan gelaran yang di bawa, iaitu al- amin yang bermaksud yang dipercayai, dan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai pembawa risalah dan memberi petunjuk dan jalan dari perkara kemungkaran kepada kema'rufan, perkara batil kepada yang haq, dan kejahilan kepada cahaya.  
 

Rasullah s.a.w. diutus pada zaman Jahiliyyah di mana umat manusia pada ketika itu hidup dalam keadaan kemunduran, kejahilan, persengketaan, penindasan, porak- peranda dan saling berbunuhan. Oleh yang demikian, turunlah ayat Allah dalam Surah Ibrahim ayat 4 yang bermaksud:
"Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, agar dia dapat memberi penjelasan kepada mereka. Maka Allah menyesatkan kepada siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dia Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana."  
 

Justeru itu, perlantikan dan pemilihan baginda sebagai Rasul utusan Allah adalah membawa tanggungjawab besar untuk memperbetulkan keadaan masyarakat pada ketika itu, dan menunjukkan sinar kebenaran ke arah hidup yang diberkati Allah.  
 

Demikianlah, besarnya peranan baginda sebagai penghulu sekalian nabi, pemimpin pejuang Islam, dan penyelamat sekalian ummat. Ini disebutkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya dalam surah Saba' ayat 28 yang bermaksud:
"Dan tidaklah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam."  
 

Sungguhpun begitu, berat dan amat payah tanggungjawab baginda, Rasulullah tetap bersabar dan istiqamah dalam perjuangannya menyampaikan risalah dakwah hingga ke hembusan nafasnya yang terakhir. Inilah bukti kasih sayang baginda terhadap umatnya. Meskipun berhadapan dengan saat ajal datang menjemput, baginda sentiasa mengingati umatnya, dengan kata-kata terakhir yang keluar dari mulut baginda: "Ummati, ummati, ummati..." (Umatku, umatku, umatku).  
 

Allahu akhbar... Maha suci Allah, begitu agung peribadimu, sungguh menawan tutur bicaramu, terpaut hatiku menghayati sirah hidupmu. Engkaulah Rasul pilihan, engkaulah pemimpin sanjungan, engkaulah suri teladan, engkaulah permata yang sentiasa bergemerlapan, engkaulah sinar yang menerangi seluruh alam... engkaulah pujaan setiap insan.  
 

Rasulullah diutus membawa cahaya, memberi sinar pengharapan, menunjuk jalan kepada kebenaran. Keperibadian baginda tidak dapat disangkal lagi, keluhuran baginda tidak dapat diragui, keikhlasan baginda tidak dapat ditandingi, pemergian baginda tiada lagi pengganti.  
 

Wahai seluruh umat manusia, bangunlah dari lenamu, sedarlah dari angan- anganmu, bukalah mindamu, asahlah bakat dan kemampuanmu, persiapkan dirimu untuk meneruskan perjuangan dakwah baginda Rasulullah s.a.w..  
 

Jika dilihat situasi remaja pada hari ini, tiada langsung yang mencerminkan keperibadian yang luhur seperti mana yang ditunjukkan oleh contoh teladan, Rasulullah s.a.w..  
 

Andainya kita mengambil artis- artis sebagai ikutan dan role model dalam kehidupan kita, dimanakah nilai iman kita sebagai umat yang mengaku Islam?  
 

Wahai para remaja yang dikasihi sekalian, duduklah seketika, berfikirlah sejenak, patutkah kita mengambil artis sebagai ikutan, wajarkah kita meninggalkan Rasulullah s.a.w.insan agung sebagai panduan dalam kehidupan kita? Sudah pasti jawapannya tidak sama sekali. Tergamakkah kita mengagung-agungkan artis, memuja- muja kekasih sebagai tanda sayang kita kepadanya? Sebaliknya melupakan selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah s.a.w. sebagai bukti cinta agung kepadanya? Persoalan ini perlu dijawab sendiri oleh umat yang mengaku hamba kepada Allah yang Maha Esa dan umat yang inginkan syafaat baginda di padang Mahsyar kelak.  
 

Perginya baginda meninggalkan umat, mewasiatkan dua perkara yang paling berharga tiada tandingannya, iaitu kitab suci al-Quran dan Sunnah nabi s.a.w.. Barangsiapa yang berpegang teguh kepada keduanya, maka ia tidak akan sesat selamanya, Insya' Allah.  
 

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita duduk sejenak merenung kejadian sendiri, menginsafi kekurangan diri, kembali ke pangkuan IIahi. Apakah kita benar- benar ingin menjadi ummat baginda? Apakah peranan dan tugas kita sebagai umatnya? Layakkah kita bergelar umat baginda? Beranikah kita memohon syafaat baginda di akhirat kelak? Apakah yang telah dikorbankan untuk Islam? Apakah yang telah kita sumbangkan untuk perjuangan dakwah baginda? Persoalan inilah yang sepatutnya berlegar- legar di fikiran kita, seandainya mengaku bahawa kita adalah ummat Rasulullah s.a.w. Duduklah sebentar, fikir-fikirkan, tepuklah dada, tanyalah iman...  
 

Sungguhpun kita tidak dapat menjadi sesempurna nabi, tetapi... berazamlah untuk memperbaiki akhlak dan peribadi... Sesungguhnya Allah sentiasa ada bersama kita, dan Dia sentiasa menolong hamba-Nya yang suka kepada kebaikan.../tajdid


Home Site Map my.TagTag

Terms of Use
TagTag.com